Selamat datang bulan kemerdekaan dan selamat datang Ramadhan

Tuesday, July 28, 2009

Waktu Sihat Sebelum Sakit

Hari ni MC lagi. Sakit dalam perut aku dah takleh tahan lagi.
Pagi tadi masih bangun seperti biasa - 5.00 pagi. Sempat lagi menggosok pakaian, walaupun sakit masih terasa. Selesai menggosok aku termenung di birai katil. Perlukah aku MC lagi hari ni?
Kalau aku terus juga ke sekolah hari ni, apakah aku masih mampu bertahan macam semalam? Sakit, tapi masih mampu aku gagahkan juga semalam. Tapi hari ni? hari ni kelas aku banyak. Mampukah aku? Akhirnya, sms ku kirim kepada rakan baik ku, cikgu Redzuan....aku tak dapat hadir hari ni. Selesai solat subuh, aku makan ubat penahan sakit dan terbaring di katil. Dalam menahan kesakitan entah pukul berapa aku terlelap.
Pulang dari klinik, aku terus mengadap laptop kesayanganku ni. Persiapan bahan untuk murid-murid ku perlu diteruskan. SPM dah semakin hampir. Dalam menahan kesakitan hari ni, siap juga lah sedikit sebanyak. Aku tak nak kerana kesihatan aku (yang selalu sakit sejak akhir-akhir ni) akan menjejaskan anak-anak muridku.
Mereka di sekolah selalu melihat aku ceria. Tapi mereka tak tahu, kadang dalam ceria tu sebenarnya aku menahan sakit. Cuma bila aku dah tak tahan sangat, MC lah aku hari tu....

Read More......

Monday, July 20, 2009

Kudin, Badin dan Cikgu Rok

Kudin pandang Badin. Badin pandang Kudin. Sengih. Nampak gigi Badin yang kuning semacam. Cikgu Rok menjeling tajam. Muka masam. Tak puashati. Mungkin kalau hilang pertimbangan, maunya dilenyek-lenyek budak dua ‘ekor’ ni. Tapi Cikgu Rok masih tahan sabarnya. Budak-budak ni tak tau siapa Cikgu Rok. Anak Mahaguru Silat dari utara tanahair. Mewarisi segala jurus persilatan termasyur tersebut. Sekali hentak, mau habis berterabur gigi Badin yang kekuning-kuningan tu. Sabar Cikgu Rok…


Sepuluh minit kemudian…
Badin sepak kaki Kudin. Adoi!!! Jerit Kudin. Belum sempat Cikgu Rok tegur, kaki Kudin pantas menyerang balas. Budin mengelak dan cuba menyerang balas kembali, Tapi sempat dielak oleh Kudin. Panggggg!!! Adoii!!...Panggg!!! Adoi!! Kudin dan Badin terjatuh dari kerusi. Dua-dua terduduk atas lantai. Pelempang Cikgu Rok memang hebat. Tak sampai pun 0.2 saat, Kudin dan Budin terlempang kedua-duanya. Iyalah…anak mahaguru silat yang terkenal di utara tanahair. Kata pepatah, mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi.

‘Duduk…’ mendatar aja suara Cikgu Rok. Budin dan Kudin macam kena pukau. Patuh yang amat patuh. ‘ Kesat mulut tu….’ Kudin dan Budin serentak mengesat bibir mereka yang masing-masing berdarah. Cuma bezanya, Kudin lap dengan sapu tangan, Budin lap dengan tangan dan lepas tu kesat kat seluar. Ye lah, Kudin anak mandur, mampu la bapak dia belikan sapu tangan. Sedangkan Budin anak kuli biasa je.


Ada perasaan bersalah pada Cikgu Rok. Menyesal kerana tindakannya tadi. Kalaulah dia lebih bersabar. Tapi nak buat macam mana. Kata orang, sesal dahulu dapat nasi, sesal kemudian dapat bubur [ sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya + nasi sudah menjadi bubur]. Cikgu Rok rasa sayu, menyesal….dan bersalah. ‘maafkan cikgu, Budin, Kudin’….kata-kata yang hanya terucap di hati dan tergambar di wajah.


Sepuluh minit selepas sepuluh minit berlalu…
‘ Ayu, tadi aku tempeleng Kudin dan Bidin masa ujian’
‘Eh! Baguslah! Budak-budak tu memang layak pun kena macam tu. Sukanya aku, kau tau’
‘Tapi aku rasa tindakan aku tadi tu melampau la, Ayu. Aku rasa bersalah la pulak.’
‘ Alah Rok, kau jangan risau la. Sapa tak kenal Bidin dan Kudin tu. Kau ingat tak kes Cikgu Molly dulu? Sampai menangis-nangis si Molly tu dipermainkan dek Bidin ngan Kudin tu.’
‘ Ye lah, tapi aku rasa tindakan aku tadi tu dah melampau , Ayu. Tak patut aku lempang diorang tu tadi’
‘ Alah kau ni!, Sudahlah, padan muka diorang tu. Eh, Aku ada kelas ni…..nak ikut?’


Esoknya, 10 minit selepas jam 8 pagi….
Tanggg!!! Pintu pejabat ditutup kasar. Tercegat seorang lelaki bertubuh sasa lewat 40an. Matanya kemerahan. Misainya sebijik macam misai RSM askar dulu-dulu. Dibelakangnya Kudin dengan muka jugak muka serius kononnya - tapi tak macam muka bapaknya, muka kudin langsung tak menakutkan sesiapapun yang memandang.

‘Siapa yang lempang anak aku semalam? Aku nak jumpa dia! Pantang aku orang buat anak aku macam tu!’

Alamak! Habis la kali ni. Semua orang pejabat memandang. Diam. Suasana yang tadi agak meriah, tetiba aja menjadi sunyi sepi. Tummm!!! Bapak kudin tumbuk kaunter pejabat. Nasib baik kaunter tu diperbuat daripada kayu jati ‘solid’ dengan ketebalan 40mm. kalau tidak tentu dah patah kaunter tu.

Siapa tak kenal bapak Kudin. Samseng, kaki gaduh, panas baran dan segala macam yang negatif. Keluar masuk IPD dah biasa baginya. Dan hari ni, buat entah kali ke berapa, bapak Kudin nak mengamuk lagi.

‘Mana cikgu tu? Aku nak ajar dia! Pantang aku orang buat keturunan aku macam tu. Kudin ni, jentik pun aku tak pernah’

Pintu pejabat tetiba terbuka.
‘Bapak! Tu lah cikgunya pak!’ Bapak Kudin berpaling kepada insan yang baru je nak masuk pejabat tersebut.
‘Kau……’ tak sempat bapak Kudin menghabiskan ayatnya. Sebaik sahaja mata mereka bertentangan. Diam. Kemarahan bapak Kudin dengan tetiba sahaja hilang entah ke mana. Bapak Kudin pandang Cikgu Rokiah, Cikgu Rokiah pandang bapak Kudin.

‘Sarip???’ Tanya Cikgu Rokiah dengan nada terkejut.
‘Rokiah….?’

Entah dari mana, tetiba je kedengaran lagu nyanyian Saleem Iklim yang popular zaman lewat 80an dulu…

Saat kita terpisah
Kau genggam erat tangan ku
Sepertinya tak merelakan kepergianku
Untuk meninggalkan mu…

Dermaga saksi bisu
Waktu ku kucup keningmu
Perlahan kau lepaskan
Pegangan tangan ku
Aku lihat…kau menangis

Kudin lihat mata Cikgu Rokiah berkaca dan kemudian Kudin lihat juga menitis airmata Cikgu Rokiah. Kudin tak paham. Tambah Kudin tak paham kenapa bapaknya yang tadi macam singa, tetiba je kaku macam kucing tengah menung ikan dalam tudung saji. Orang pejabat semua tengok kusyuk menonton drama yang sedang berlaku.

‘Abang Sarip…….’ Sambil tersedu-sedu,Cikgu Rokiah berpaling lantas keluar dari pejabat dan berlari entah ke mana.
‘Rokiah….tunggu….’ bapak Kudin tanpa membuang masa mengejar Cikgu Rokiah.

Kudin tak paham. Tapi orang pejabat dah mula berbisik sesama sendiri. Engkau orang paham? Atau engkau orang pun sama macam Kudin….tak paham!

Read More......

Saturday, July 18, 2009

JANGAN POLITIK BANTUAN PENDIDIKAN

SEREMBAN - Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sembilan, Teo Kok Seong mendesak kerajaan negeri mengkaji semula borang permohonan bantuan kewangan bagi kemasukan kali pertama pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) yang memerlukan pengesahan daripada kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ini kerana arahan berkenaan menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat memberi khidmat kepada pelajar yang layak di kawasan yang diwakili wakil rakyat PKR.

Menurutnya, berdasarkan borang sedia ada, permohonan bantuan kewangan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di IPTA memerlukan pengesahan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Jelas dalam borang berkenaan memaparkan pengesahan perlu dibuat oleh ADUN, Pegawai Khas Khidmat DUN BN, Penghulu atau Ketua Kampung yang dilantik UMNO."
"ADUN PR yang dipilih rakyat tidak dibenarkan memberi pengesahan dan ulasan terhadap masyarakat yang mengundi kita. Adakah ini wajar. Niat BN amat jelas dan nyata iaitu cuba menghalang PR berkhidmat," katanya.
Kok Seong yang juga ADUN Bahau berkata, bantuan kewangan kepada pelajar yang berhak perlulah diberi secara adil tanpa mementingkan perbezaan politik yang nyata memberi kesan kepada rakyat.

"Janganlah kita cuba mempolitikkan bantuan kewangan yang sudah menjadi hak pelajar yang melanjutkan pelajaran ke IPTA. Peruntukan berkenaan adalah untuk rakyat selaras dengan slogan 1Malaysia," katanya.

Menurutnya, beliau pernah mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang bertugas di pejabat Menteri Besar, namum jawapan yang diberi amat mengecewakan iaitu dia hanya menjalankan tugas dan arahan pihak atasan.

[ Sinar Harian, Edisi Melaka & Negeri Sembilan, muka surat MNS3, 18/07/2009]
..................................................................................

Teringat masa sekolah rendah dulu. ketika itu musim pilihan raya. Datang seorang guru ke kelas ingin berjumpa dengan pelajar yang mendapat nombor satu, dua, dan tiga dalam peperiksaan. Guru tersebut memberi tahu bahawa satu majlis penyampaian hadiah oleh calon UMNO yang bertanding akan diadakan bagi murid-murid yang mendapat tempat pertama, kedua, dan ketiga. Berkerut dahi saya apabila guru tersebut bertanya, ayah kami penyokong parti mana? Hilang kegembiraan saya ketika itu dan kepada guru berkenaan saya berkata tidak tahu (ayah saya menyokong parti mana), sedangkan ayah saya merupakan 'orang kuat' UMNO cawangan tempat saya ketika itu.....dan dalam majlis berkenaan saya tidak hadir untuk menerima hadiah nombor satu kelas saya.

Nampaknya masih ada dikalangan pemimpin kita yang masih belum mahu sedar dan berubah. Atau apakah mereka ini tidak mahu berubah?

Read More......

Friday, July 17, 2009

KANAK-KANAK BELAJAR DALAM KEHIDUPAN

Jika anak itu hidup dengan KRITIKAN,
Dia belajar untuk MENCELA

Jika anak itu hidup dengan KEKASARAN,
Dia belajar untuk MENENTANG

Jika anak itu hidup dengan BELAIAN KASIH,
Dia belajar untuk RESAN DIRI

Jika anak itu hidup dalam suasana IRI HATI,
Dia belajar untuk merasa BERSALAH

Jika anak itu hidup dengan TOLERANSI,
Dia belajar untuk BERSABAR

Jika anak itu hidup dengan GALAKAN,
Dia belajar untuk BERKEYAKINAN

Jika anak itu hidup dengan PUJIAN,
Dia belajar untuk MENGHARGAI

Jika anak itu hidup dengan SAKSAMA,
Dia belajar untuk berlaku ADIL

Jika anak itu hidup dengan KERELAAN,
Dia belajar untuk MENYAYANGI

Jika anak itu hidup dengan RESTU,
Dia belajar untuk MENYUKAI DIRINYA

Jika anak itu hidup dengan PENGHARGAAN,
Dia belajar untuk MEMPUNYAI MATLAMAT

Jika anak itu hidup dengan KEJUJURAN,
Dia belajar apa itu KEADILAN

Jika anak itu hidup dalam KESELAMATAN,
Dia belajar MEYAKIN DIRI dan orang sekelilingnya

Jika anak itu hidup dalam KERAMAH-TAMAHAN,
Dia belajar bahawa dunia ini ialah
TEMPAT YANG BAIK untuk hidup


..................................................................................................................................
dipetik daripada sebuah majalah di perpustakaan sekolah pada tahun lepas. malang sekali, terlupa pula nama penulis dan nama majalah berkenaan.

Read More......

Tuesday, July 14, 2009

REMPIT 1511

Buntu. Balairong Seri yang dipenuhi oleh Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Orang-Orang Kaya Negeri hinggalah kepada Penghulu-penghulu Kampong senyap sunyi seperti negeri baru dilanggar garuda.
' Kereta kuda beta pun hampir-hampir dilanggar mereka !!' Murka benar Tuanku hari ini. Semalam ketika baru pulang lewat malam dari menghadiri majlis kenduri kahwin anak Datuk Bendahara, nyaris-nyaris kereta kuda baginda dilanggar sekumpulan penunggang kuda yang sedang berlumba di jalan hadapan istana. Nasib baiklah Baginda merupakan bekas pemain polo yang handal, hebat juga mengendalikan kereta kuda. Kalau tidak tentunya terjadi kemalangan ngeri semalam.
'Datuk-datuk sekalian! Fikirkanlah sesuatu yang bernas, supaya masalah anak-anak muda merempit yang kita hadapi sekarang ini bisa diselesaikan secara tuntas!"
' Sebelum ini berbagai cara telah kita lakukan bagi menyelesaikan masalah anak muda kita yang suka merempit ini. Tapi semuanya macam tak jalan. Malah semakin menjadi-jadi"
Datuk Temengong menopang dagu dengan jari seperti sedang memikirkan sesuatu. Datuk Bendahara menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Datuk Laksamana berkerut dahinya seolah-olah turut memikirkan sesuatu – walaupun penat baru pulang dari Tanah Jawa pun belum hilang lagi, tapi terpaksa hadir pagi ni sebab cuti rehatnya ditarik balik oleh Baginda Sultan.Dah habis buah fikiran mereka berikan selama ini. Datuk Temenggung yang diberi kuasa untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negeri pun sampai dah buntu. Berbagai cara telah dilaksanakan, tetapi masalah merempit ni tidak juga selesai. Malah kegiatan pemuda-pemuda yang gemar merempit ni semakin menjadi-jadi dan semakin ganas hingga melibatkan jenayah lain pula.
Cadangan Datuk Temenggung agar perintah berkurung bagi pemuda dibangkang oleh rakyat, kenaikan had umur bagi menunggang kuda juga telah dinaikkan, tapi kurang kerjasama daripada ibu bapa. Malah had umur bagi memiliki kuda juga telah dinaikkan dari 18 ke 21 tahun. Silibus kursus lesen menunggang kuda juga telah dikemaskinikan. Apa lagi? Kuda-kuda penguatkuasa juga telah ditukar dengan kuda-kuda import dari Amerika yang lebih tegap dan laju. Operasi pun selalu dijalankan. Tahun ini sahaja lebih 700 operasi mencegah aktiviti pemuda rempit ini dah dijalankan- menjadikan tiada hari tanpa operasi membanteras pemuda rempit sepanjang tahun. Tapi masalahnya, kuda-kuda tempatan yang lebih kecil lebih mudah mencilok apabila dikejar oleh kuda penguatkuasa. Kuda-kuda tempatan ini juga telah diubahsuai yang menjadikannya lebih lincah.Dan yang terbaru, cadangan Datuk Bendahara agar semua jalan yang dikenal pasti sebagai jalan pilihan pemuda rempit ini ditambun dengan batu kasar juga tak jalan. Berjuta-juta belanja dikeluarkan, tapi hasilnya amat minimum sekali.
Kegiatan pemuda rempit ini memang masalah negara. Berlumba secara haram dijalan-jalan raya, menunggang kuda secara sesuka hati tentunya membahayakan penunggang-penunggang kuda dan penumpang-penumpang kereta kuda yang lain. Malah banyak pula aktiviti tidak sihat yang timbul bersamanya. Dalam operasi-operasi yang dijalankan, di dapati, sebahagian besar daripada mereka ini terlibat dalam penagihan candu. Mereka juga turut dikaitkan dengan aktiviti jenayah lain seperti ragut, zina, dan menggangu ketenteraman awam.Saban hari akhbar-akhbar melaporkan kegiatan lumba haram dan jenayah yang dilakukan oleh pemuda rempit ini. Semakin hari semakin menjadi-jadi dan berleluasa.……………………………………………………………………………………………............................
Datok Laksamana!!!!'"Tuanku!!" Datok Laksamana yang sedang sangap (mengantuk) tiba-tiba kembali celik matanya akibat disergah oleh Baginda Sultan. Tersengih-sengih Datok Temenggung disebelahnya.'Beta belum mendengar lagi buah fikiran Datok berkenaan masalah kita ini' Datuk Laksamana yang baru pulang dari Tanah Jawa sebenarnya masih lagi mamai tadi dengan spontan menjawab..'Ada Tuanku, sekarang juga patik pegi ambil " Spontan keluar dari mulut Datuk Laksamana. Ingatkan Tuanku tanya pasal buah tangan dari Jawa (sebenarnya Tuanku tanya buah fikiran). Bergegas lah Datuk Laksamana ke kapal nya di pelabuhan.Maka gamatlah Balairong Seri tersebut dengan gelak ketawa.
……………………………………………………………………………………………
Keesokan harinya, gemparlah rakyat apabila membaca akhbar Harian Timur yang merupakan akhbar terlaris di negeri tersebut.
Bandar Timur.12 Zulhijjah. Penggunaan kuda diharamkan sama sekali berkuatkuasa serta merta, di negeri Timur, kecuali untuk kereta kuda. Hanya penguatkuasa dan golongan pemerintah sahaja dibenarkan menunggang kuda. Aktiviti menunggang kuda hanya dibenarkan di padang lumba kuda berdaftar dengan Kementerian Perbendaharaan sahaja. Bagaimanapun, menurut Pegawai Perhubungan Awam Istana , Datuk Siaraya , rakyat jelata masih boleh menunggang dan memiliki sejenis kuda, iaitu kuda kepang tanpa perlu lagi memiliki lesen menunggang, insuran dan cukai jalan
...................................................................................................................
Terima kasih kepada Datuk Laksamana yang membawa kuda kepang dari Tanah Jawa sebagai buah tangan kepada Sultan. Dari situlah Sultan dapat idea tersebut.
Sekian.

Read More......

KEHENDAK DALAM KEPERLUAN

Seorang rakan yang pendapatan bulanannya sama dengan saya sering mengeluh bahawa pendapatannya hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupannya sekeluarga setiap bulan. Beliau mempunyai seorang anak kecil dan isterinya tidak bekerja.Beliau mengeluh kerana sebaik sahaja menerima gaji bulanan, separuh daripada gajinya telah disalurkan untuk pembayaran ansuran kereta, sewa rumah, dan bil-bil utiliti yang lain.Belum lagi hutang PTPTN yang perlu dijelaskan ansurannya setiap bulan.Cuma tinggal separuh sahaja lagi untuk perbelanjaan keluarga, kecemasan dan simpanan (sekiranya ada ).

Beliau bukanlah jenis orang yang mudah terpengaruh dengan 'jualan mega', 'ansuran mudah' , 'tiada bayaran hingga tahun hadapan' dan sebagainya. Satu atau dua pembelian atas skim bayaran mudah masih boleh dikira normal dalam masyarakat hari ini. Penggunaan kad kredit beliau juga sentiasa terkawal. Oleh kerana rakan saya ini graduan ekonomi, tidak perlulah saya 'berceramah' tentang pengurusan kewangan terhadap beliau. Tentunya beliau sudah sedia maklum. Bagaimanapun pada pengamatan saya, satu kesilapan beliau ialah gagal melihat kehendak dalam keperluan.Dalam hidup kita ini, sesetengah keperluan yang biasa tentunya tidak boleh kita elakkan untuk dipenuhi – rumah, pengangkutan, komunikasi, dan makanan contohnya – yang mana sebahagian besar daripada pendapatan kita dibelanjakan. Cuma adakalanya tanpa kita sedari, kita telah terlebih dalam memenuhi keperluan ini.

RUMAH
Rumah atau tempat tinggal antara keperluan yang paling asas sekali perlu dipenuhi. Tidak boleh tidak, sama ada membeli rumah atau kebiasaannya menyewa. Rakan saya ini menyewa rumah teres 2 tingkat dengan 3 bilik disebuah taman perumahan baru. Cantik dan selesa rumahnya. Sewa bulanannya ialah RM450 (di tempat saya, secara relatifnya sewa masih murah bagi kawasan Johor Bahru dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya – dan kadar sewa ini semakin meningkat).Pada pandangan saya, mengapa perlu menyewa rumah sebanyak RM450 sebulan untuk sebuah keluarga kecil – diri sendiri, isteri dan anak kecil. Jika sewanya RM450 atau lebih, saya lebih sanggup untuk membeli rumah, bukan menyewa. Saya sendiri ( dengan seorang isteri, serta 3 anak ) tinggal dengan menyewa di sebuah rumah taman perumahan lama yang juga mempunyai 3 bilik tidur. Meskipun tandas dan bilik airnya cuma satu, yang penting 3 bilik tidurnya agak luas dan selesa, dapurnya lapang. Dan yang paling penting, sewanya hanya RM280 sebulan!!

PENGANGKUTAN
Pada masa kini memiliki kenderaan bukan lagi satu kehendak. Tetapi masalahnya, ansuran kenderaan (tanpa pembayaran pendahuluan), boleh 'menyedut" sekurang-kurangnya 25% daripada pendapatan tetap anda, untuk satu tempoh maksimum 9 tahun. (Lamaaa tuuu…). Lebih menyenakkan fikiran, tidak seperti rumah, harganya selepas 9 tahun, tentunya amat susut. Belum lagi dikira harga patrol yang tak pernah turun, insuran,cukai jalan, dan belanja penyelenggaraan yang semestinya adalah 'pakej' yang tidak boleh ditolak bila memiliki kenderaan.Ya, memang benar…kereta bukan lagi kehendak, tetapi sudah jadi keperluan. Masalahnya keperluan kita seringkali disamarkan oleh kehendak. Mengapa perlu membeli VIOS kalau Wira sudah memenuhi keperluan kenderaan kita?

MAKANAN
Tiada orang boleh katakan hidupnya tak makan pun tidak mengapa – sebab itulah ianya merupakan keperluan asas yang paling asas. Soalnya bagaimana kita memenuhi keperluan asas yang paling asas ini?Bagi yang dapurnya sentiasa berasap, kenaikan harga ikan, ayam, daging dan sayuran tentunya merupakan perkara yang sensitif. Seringkali kita dengar bila berlaku kenaikan harga sesuatu barangan, pengguna diminta menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna. Pengguna ada kuasa ke? Jawapannya memang YA. Kalau musim harga ikan naik (macam musim tengkujuh dan banjir sekarang ni), beralihlah kepada ayam dan daging dan belilah ikan jenis paling murah sekali (meskipun takda lah murah pun sebenarnya). Beli di tempat yang menawarkan harga lebih murah, meskipun agak jauh sedikit dari tempat anda. Di pasar tempat saya, harga ikan, daging dan sayuran sememangnya tidak menentu dan sentiasa mahal. Menghairankan, harga ayam sentiasa lebih murah berbanding tempat lain (kenapa ek?). Sebagai alternatif,setiap 2 minggu saya akan ke salah sebuah pasar di Skudai yang mana harga barangan tersebut jauh lebih murah.KFC? MarryBrown? McD? Mintak maaflah…itu bukan budaya saya. Nak pergi sebulan sekali pun payah. Saya lebih selesa ke restoran biasa tepi jalan…itu pun jarang-jarang sekali. KFC, McD, MaryBrown – anak-anak saya tahu mereka akan ke sini hanya jika mereka menerima penghargaan dari saya atas sesuatu pencapaian mereka.

KOMUNIKASI
Handphone suatu ketika dahulu merupakan satu symbol status dalam masyarakat. Dari zaman ATUR (yang besarnya macam tin biskut 1kg tu) hinggalah kini yang mempunyai saiz sebesar tapak tangan (sampai kadang tu tak jumpa carik pasal lupa letak kat mana), handphone telah bertukar sebagai satu benda yang 'mesti ada'. Sesetengah kita mungkin berbangga kalau ada telefon bimbit yang terkini yang didalamnya mempunyai berbagai kemudahan tambahan. Kalau dulu telefon bimbit hanya digunakan untuk bercakap dan bersms, tapi kini penggunaannya lebih berbagai, dengan standard masa kini – berkamera, sambungan internet, boleh memainkan lagu, dan sebagainya. Adakalanya, jangan hairan, tuan punya handphone yang canggih-manggih ini pun tidak tahu tentang keistimewaan handphonenya.Lebih parah lagi sekiranya anda tidak menggunakan pun kemudahan-kemudahan yang tersedia dalam telefon bimbit tersebut (kerana memang anda tidak memerlukannya) – anda telah membayar harga teknologi yang anda tidak gunakan. Jika menggunakannya pun (kerana rugilah kalau dah ada tapi tak guna, kan?) Anda perlu ingat kebanyakan kemudahan tambahan tersebut, juga sepertimana untuk bercakap,tidaklah percuma – anda masih perlu membayarnya.Jadi pada saya yang menggunakan telefon bimbit hanya untuk bercakap dan sms, nokia 3310 masih relevan untuk saya (hehehe…dah 5 tahun dan 10 kali terhempas). Tunggulah handphone saya rosak dan harga telefon bimbit yang ada berbagai-bagai kemudahan yang 'tidak berguna' pada saya tu menjadi benar-benar murah atau bila wujudnya keperluan untuk menggunakan 'teknologi terkini' tersebut,mungkin saya akan menukarnya. Itupun jika yang sedia ada ini rosak, atau teknologi yang saya ada tidak boleh digunakan lagi.
Begitulah beberapa perkara yang biasa dalam kehidupan kita yang sering kita keliru dalam memenuhi apa yang kita anggap sebagai satu keperluan. Keperluan juga boleh dikaburi oleh kehendak kita. Fikirkanlah, berapa banyak kos hidup kita dapat dikurangkan sekiranya kita hanya memenuhi 'keperluan sebenar-benarnya keperluan' dalam hidup kita.
-----------------------------------------------------------------------------
Ditulis pada 17 Julai 2007. Gambar-gambar diatas sekadar gambar hiasan sahaja dan diambil dari sumber internet.

Read More......

Monday, July 13, 2009

TUGU PERINGATAN PERANG SUNGAI KELAMAH

LOKASI
Jambatan Sungai Kelamah. Berhampiran Felda Sungai Kelamah, jalan Tampin-Gemas. Kira-kira 40km dari Tampin dan kira-kira 10km dari Gemas.


PERISTIWA
Tugu ini dibina sebagai memperingati bekas-bekas Tentera Australia dan Jepun serta keluarga mereka yang terkorban semasa berlakunya peperangan antara Batalion Australia ke-2/30 dengan Tentera Jepun pada 14 Januari 1941. Dalam peperangan ini, Tentera Australia yang diketuai oleh Lt. Kol. Gallaghan telah melakukan serang hendap terhadap kemaraan askar-askar Jepun ke Tampin. Pertempuran telah meletus dan berlarutan ke hari berikutnya. Pertempuran ini telah menyebabkan ramai Tentera Jepun terkorban dan pada 15 Januari 1941, sepasukan Tentera Jepun yang lain telah tiba dan menyebabkan Tentera Australia terpaksa berundur ke Segamat. Dalam usaha menghalang kemaraan Tentera Jepun, jambatan kayu yang merentangi Sungai Gemencheh di Kampung Sungai Kelamah yang menghubungkan Tampin dengan Gemas terpaksa diletupkan. Tapak jambatan dan beberapa tiangnya masih kekal hingga ke hari ini.

Read More......

TANDAS SEKOLAH

Permasalahan Semasa
1. Dijadikan tempat melepak/berkumpul
2. Terdapat pelajar lelaki yang merokok di dalam tandas

Cadangan Penyelesaian

Konsep tandas terbuka dimana tandas yang tidak mempunyai dinding, cuma mempunyai bilik-bilik kecil tandas sahaja. Konsep tandas terbuka ini telah dilaksanakan di beberapa sekolah di Johor Bahru sebagai projek perintis dan di dapati berkesan bagi mengatasi masalah tersebut, terutamanya masalah pelajar merokok di dalam tandas. lawatan saya ke tandas salah sebuah sekolah berkenaan juga mendapati bahawa tandas sekolah tersebut lebih bersih dan ceria.
InsyaAllah, saya akan 'tampalkan' gambar tandas disekolah berkenaan di sini untuk rujukan kita bersama.

Read More......

KEMPEN KEBERSIHAN 5 MINIT

Latarbelakang

Kempen Kebersihan adalah kempen dimana pada setiap hari 5 minit waktu terakhir persekolahan, semua pelajar dikehendaki membersihkan kelas mereka. Pengumuman untuk menjalankan kempen ini akan dibuat melalui radio sekolah. Ketika ini juga, bacaan Asmaulhusna akan disiarkan. Seterusnya, bacaan doa sebelum pelajar pulang.
Permasalahan Semasa
Terdapat kelas-kelas yang tidak menjalankan Kempen Kebersihan 5 minit ini, sebaliknya terus bergerak keluar kelas untuk pulang, sebaik sahaja pengumuman dibuat.
Cadangan Penyelesaian
1. Pengumuman untuk menjalankan kempen kebersihan tidak perlu dibuat. Guru-guru waktu terakhir akan mengarahkan pelajar-pelajarnya untuk menjalankan kempen ini sebaik sahaja waktu pembelajaran berbaki 5 minit. Guru waktu akhir perlu memastikan kempen ini dijalankan. Terdapat juga guru-guru yang ditugaskan untuk memantau keadaan di blok-blok semasa 5 minit waktu terakhir.
2. Pengumuman bacaan doa dan bacaan doa melalui radio sekolah sebaik sahaja loceng waktu akhir berbunyi. Melalui pemerhatian saya, pelajar sekolah ini masih menghormati bacaan doa dan mereka akan berhenti ketika doa dibacakan. Ini dapat mengelakkan keadaan kucar-kacir berlaku.
3. Kemudian barulah bacaan Asmaulhusna disiarkan melalui radio sekolah.
InsyaAllah, boleh cuba. Permasalahan ini juga pernah berlaku disekolah saya dahulu, namun setelah perubahan seperti di atas dibuat, masalah tersebut telah dapat diselesaikan.

Read More......

Sunday, July 12, 2009

PPSMI oh PPSMI

Lega. Akhirnya kerajaan telah mengumumkan keputusannya berkaitan perlaksanaan PPSMI ini. Tentulah dengan keputusan ini, ada yang merasa lega (golongan seperti saya?) dan tidak kurang juga ada yang merasa 'kecewa'. Pendirian saya, sejak awal-awal lagi sememangnya saya tidak menyetujuinya.

Bukan kerana saya tidak menyokong supaya generasi kita menguasai bahasa inggeris, tetapi lebih kepada tidak bersetuju kerana cara yang dipilih (PPSMI) untuk mengatasi kelemahan berbahasa inggeris dikalangan generasi muda kini (pelajar dan graduan kita.

Jika kita ingat kembali, isu penguasaan bahasa inggeris timbul setelah diberitakan bahawa ramai siswazah bumiputera yang menganggur. ketika itu dilaporkan bahawa ketidakupayaan graduan dalam menguasai bahasa inggeris adalah sebab utama mengapa mereka gagal di dalam temuduga pekerjaan yang dihadiri. namun ironinya. penyelesaian yang dipilih ialah dengan melaksanakan PPSMI dengan alasan kepentingan penguasaan ilmu sains dan teknologi. Mengapa tidak kurikulum bahasa inggeris itu sendiri disemak kembali dan diperkasakan?

Adakah dengan belajar matematik dan sains dalam bahasa inggeris akan meningkatkan penguasaan bahasa inggeris kita? Pada pandangan saya, ini mungkin benar pada komponan kefahaman dan juga penulisan dalam bahasa inggeris. Tetapi bagaimana dengan komponan pertuturan dalam bahasa itu sendiri?

Graduan kita yang gagal temuduga pekerjaan sebenarnya pada saya bukanlah kerana mereka tidak menguasai komponan pemahaman dan penulisan dalam bahasa inggeris, tetapi lebih kepada kelemahan bertutur dalam bahasa inggeris. Inilah aspek dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris yang perlu diperkasakan.

Saya sendiri, dengan keputusan C4 dalam bahasa inggeris peringkat SPM; kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Insititut Teknologi Mara (UiTM kini) dalam bidang Diploma in Banking Studies. Ketika itu, fakulti saya menggunakan medium bahasa inggeris sepenuhnya. syarahan dalam bahasa inggeris dan menulis tugasan/menjawab peperiksaan juga dalam bahasa inggeris. Alhamdulillah, 3 tahun dalam suasana begitu, saya berjaya menamatkan pengajian dengan CPGA 3.67. Tetapi sehingga kini, penguasaan saya dalam pertuturan dalam bahasa inggeris masih sederhana. mungkin kerana lebih banyak mendengar, memahami dan menulis....tetapi kurang terpaksa bertutur?


JEJAK ISU [ Kemaskini 19.07.2009]

Read More......

Saturday, July 11, 2009

KURSUS MEMBINA BLOG SMK JELAI [FELDA]

Kursus pembinaan laman blog yang melibatkan semua Ketua Panitia Mata Pelajaran, Ketua-ketua Bidang, barisan pentadbir dan pengetua telah diadakan di Makmal Komputer B, SMK Jelai [Felda] pada hari ini.
Kursus sehari ini telah dijalankan dengan kerjasama Pusat Kegiatan Guru Gemas. Dalam kursus ini, semua pihak yang terlibat telah didedahkan dengan pembinaan laman blog dan seterusnya membina laman blog masing-masing.
Selain daripada membina blog panitia dan pentadbir, semua guru juga telah membina blog peribadi masing-masing.

Read More......
 

Home | Blogging Tips | Blogspot HTML | Make Money | Payment | PTC Review

Cikgu Eaizan © Template Design by Herro | Publisher : Templatemu